HOME

Sabtu, 16 April 2016

KITA SEBENARNYA SENDIRIAN

Setiap pagi kita bangun
Kita sebenarnya bangkit dari kematian
Dan hari pun berlalu
Seperti biasa.

Di hari lain
Kita bangun pagi itu
Lepaslah kita dari maut semalam
Dan hari pun berlalu
Seperti biasa.

Sampai suatu pagi
Kita bangun setelah malam tidak memayatkan kita
Sementara nyawa masih tersekat di halkum
Hari itu pun berlalu juga
Seperti hari-hari biasa.

Entah sampai bila
Setelah kita bangun pagi
Tetapi ajal tidak menjemput semalam
Tetapi siangnya,
Bernafas dalam kabut derita
Takdir mula menghambat hingga ke petang
Kita lelah dan orang lain pun kecewa
Hari itu pun berlalu juga
Tidak seperti biasa

Esoknya,
Pagi kembali senyum
Kabus suramnya sekadar mengejek
Dan orang lain bekerja menampung ahli dan diri
Ramai yang bersedih
Tetapi hakikatnya sekadar rasa
Bukan faham apa beza dua dunia kita
Mereka dan kita berbeza
Simpati yang tiada makna tanpa doa
Dan hari itu pun berlalu
Seperti biasa.

Hari kemudian itu
Menjengah ke pagi
Kurang makna yang mendalam
Ingatan kian padam
Anak adam di lain alam
Hanya menanti
Dan hari itu pun turut berlalu
Seperti hari biasa.

Hari seterusnya
Dari pagi ke petang
Ke hari seterusnya pula
Sehingga usia mereka menjengah senja
Turut berlalu
Seperti biasa

Sia-sia sahaja
Tidak maut dijemput malam
Jika amalan sekadar adatan
Kerana orang lain dan mereka
Tiada dapat menghulur tangan
Ternyatalah,
Kita sebenarnya sendirian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan