HOME

Isnin, 15 Jun 2015

Perhentian

Kita singgah di perhentian ini
cuma sebentar
tapi sempat juga menjalani dan mengalami
pelbagai peristiwa
yang pelik and geli hati

Pelbagai ragam diperlihatkan
pada dan oleh makhluk hidup
yang sebaik-baik kejadian ini
tidak pula sempurna
kerana hambatan perasaan yang meronta

Kita singgah di perhentian ini
cuma sebentar
tidak sedar masa
sampai ketikanya nanti
dengan kisah dan diari di bahu dua
kita beredar.

Rabu, 27 Mei 2015

Suasana Di Waktu Pagi

Hening pagi
embun pun bebas
memenuhi ruang
celah-celah tumbuh-tumbuhan
berselit dengan binaan tangan
memberi basah yang sedikit
pada alas dan permukaan
tapi cukup
untuk segar dan sedar

pagi masih gelap
tapi tidak sekelam malam
tidak pula secerah siang
saat mentari masih malu
untuk mengintai dan menyapa
gelapnya pagi tak seperti senja
cerahnya pula cukup terangnya
menyuluh jalan ke Rumah

andai waktu tidak bergerak
masakan usia kian bertambah
andai manusia segan berganjak
masakan akal akan bercambah

selembut embun pagi
lebihlah lagi hati azali
setenang embun di waktu pagi
sedamai fikir ketika bayi

pabila diri dan tuan hati
tidak atau jarang sekali
menjejak kaki menyentuh bumi
beralas rumput basahnya ke buku lali
bergerak mencari Rumah sunyi
usah berharap bebas hakiki
andai cuma dalam mimpi.

Ahad, 24 Mei 2015

Cinta Manusia

Cinta manusia
yang kau kejar
yang kau cari
yang kau teliti
yang kau perhalusi
yang kau selidiki
yang kau bermimpi
yang kau mahukan

pamer keindahanmu
atas nama keindahan ciptaan
mengapa?

hipokrasi lantas munafik

tiada lembaran kain
yang paling sempurna
untuk menutup tubuhmu
daripada fikir sekalian makhluk
melainkan tidak sesekali engkau membenarkan
kerana liarnya pemikiran
mampu menelanjangkan
niqab dan jilbab.

Khamis, 12 Mac 2015

Menanti Pasti Mati

mati itu pasti
dan yang pergi
tak akan kembali

kita bila lagi?
menanti hari yang pasti
tetapi kita yang tak pasti
bilakah tibanya hari pasti

yang hidup tidak pernah abadi
yang menghidup kekal selamanya
pasti nanti akan tiba satu hari
satu saat dan ketika
ajal datang menjemput kita

namun tidak mati sebelum ajal
tetapi
mengapa gila sebelum takdir?

Rabu, 11 Mac 2015

Antara Dosa dan Pahala

Manusia diberi pilihan
Pilihan untuk membuat perancangan, keputusan dan tindakan
tapi bukan penentuan

Manusia diberi pilihan
Pilihan untuk membuat kebaikan ataupun kejahatan
tetapi bukan algojo

Manusia diberi pilihan
Pilihan untuk memilih
berhujah atau dihujah
oleh jaguh jargon yang menghukum
pada hukum akal manusia
pada pandangan mata mereka
yang membuat pilihan berbeza


Rabu, 25 Februari 2015

Pantun Agama

Pernah la saya hadir ke satu majlis ilmu di surau dekat rumah saya. Ustaz (dah meninggal dunia) tu bagi banyak pantun kat jemaah masa tu. Pantun-pantun tu berbentuk nasihat. Tapi satu saja yang saya masih ingat. Pantun tu berbunyi macam ni;

Masak lemak gulai udang
       Serawa pisang serawa labu
Janggut panjang tak mau sembahyang
       Buat semak bawah dagu

Jadi moral dari pantun ni ustaz tu cerita;

Masak lemak gulai udang, serawa pisang, serawa labu ni adalah makanan. Serawa ni macam bubur la yang dimasak selalunya menggunakan gula merah (popular di bahagian utara tanah air). Simboliknya makanan adalah rezeki yang diberikan oleh Allah.

Menyimpan janggut adalah sunnah Rasulallah SAW kepada lelaki muslim.
Manakala sembahyang adalah wajib kepada semua muslim.

Jadi, apabila sebahagian perkara di buat tetapi perkara yang lebih wajib ditinggalkan, maka ia adalah sia-sia belaka kerana benda yang wajib itu adalah lebih penting dan jika ditinggalkan adalah berdosa.

Maka, janggut dibawah dagu itu semak belaka ataupun tidak memberi makna sekiranya perkara wajib seperti sembahyang lima waktu tidak ditunaikan.

Walluha'lam...

Ahad, 15 Februari 2015

Puisi Jiwa Kacau

Jiwa kacau
Jiwa rimas
Jiwa tak tenang

Rasa hati yang gelisah
Perasaan tak menentu
tak keruan aku
dibuatnya

entah apa
difikiran
entah apa
Yang difikirkan

yang tak berkenaan suka datang
tak dijemput

pergi yang bertandang
saat jiwa memerlukan

tangan tak lagi buat kerja
lantaran hati tak bekerjasama
kusut masai tulisan
jiwa kelihatan risau tiada
bila bibir menguntum senyum


Rabu, 11 Februari 2015

Pantun: Seni Persuratan Melayu

Pulau pandan jauh ke tengah
      Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
      Budi yang baik dikenang jua