HOME

RESENSI

Resensi buku-buku pilihan mr MSN.

Pertama kali membaca karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain telah membuka minda kepada suatu bidang kesusasteraan dan persuratan Melayu yang begitu luas. Menjadi gian untuk membaca lebih banyak karya-karya beliau dan pengkarya-pengkarya otai yang lain. Ternyata karya-karya lama pra dan pasca kemerdekaan negara sangat tinggi nilai kesusasteraannya dan tinggi pula nilai ceritanya.
 Jarang sekali dapat membaca karya-karya milenium baru ini yang hebat dan melekat di minda. Kebanyakannya hanya kisah cinta murahan dan selalunya kisah cinta remaja yang berkisar tentang kisah yang sama dan berulang cuma ditulis oleh penulis yang lain. Malah gaya bahasa penulis sekarang juga kurang identitinya dan seakan-akan sama.
 Membaca karya-karya zaman ini mahu sahaja dihabiskan pada hari itu juga. Cerita yang sedikit sungguhpun tebalnya 600 muka. Ayatnya yang berbunga-bunga indah tetapi kadang-kadang terlalut sehingga melebih-lebih pula. Penulis hari ini sepatutnya membaca banyak karya-karya lama dan belajar untuk menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu.
Sebagai contoh, sebuah kisah hidup seorang sasterawan kelahiran Yan, Kedah ini sangat sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai positif. Karya yang bertajuk PERISTIWA membawa pembaca menyelami beberapa peristiwa yang dialami sendiri oleh penulisnya. Membaca karya terbitan asalnya yang diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Antara pada tahun 1965 sangat mengujakan.
Buku ini menceritakan perjalanan Abdullah Hussain di Indonesia sebelum dan selepas negara itu merdeka. Kisah bermula apabila Penulis menceritakan pengalamannya menjadi polisi Jepun di Republik itu. Sarat dengan nilai yang baik serta patriotisme yang mulia, penulis mencanangkan kisah kepada pembaca akan pentingnya agama, ilmu, perpaduan, hubungan baik sesama insan dan banyak lagi.
Nilai sebegini tidak lagi dipaparkan dalam kebanyakan kisah dan cerita-cerita terbitan terkini. Sungguhpun begitu nilai kasih sayang dan percintaan turut tidak ketinggalan dalam Peristiwa. Kegagalan penulis masa kini  mengadun kisah cinta dan dunia semasa amat dikesali. Pembaca hanya dapat membaca kisah cinta dan hanyut bersama kisah itu tanpa mendapat suatu pengajaran yang mendalam. Penulis kisah cinta yang sebegini hanya menceritakan keseronokan bercinta tetapi tidak mengajar pembaca bagaimana dengan cinta itu keimanan, patriotisme dan kebersihan dapat ditingkatkan. Inilah nilai yang selalu digubah dalam karya-karya lama tanpa mengganggu-gugat nilai romantis dan melankolis dalam suatu karya mereka.
Yang paling menarik kisahnya dalam Peristiwa ialah bagaimana penulis boleh merampas  Karabajin dan senjata api lain dari pihak Jepun dengan senang hati dan mudah. Penulis turut bekerjasama dalam membantu gerakan kemerdekaan Republik Indonesia. Setelah selesai hampir banyak permasalahan beliau kembali ke Malaya. Kisah yang menarik ini ditamatkan di halaman 273 dengan
“Aku pun meninggalkan daerah Acheh dengan segala peristiwanya!”
Naskhah asal yang dibaca mr MSN ini berharga $4.20 pada tahun itu. Sugguhpun  ia hanya setebal 273 muka surat, tetapi kisah dan cerita yang terkandung seakan-akan membaca buku 2000 halaman. Agak lama masa yang diambil untuk menamatkan pembacaan kerana setiap perenggan tidak boleh diabaikan. Sebelum membaca buku ini sepatutnya karya beliau bertajuk TERJEBAK seharusnya dibaca terlebih dahulu. Namun oleh sebab kekangan tidak mempunyai buku itu maka tidak dapat dikongsi apakah ceritanya pula. Sesiapa yang mempunyai naskhah asal terjebak bolehlah e-mailkan saya .
Daripada 10 bintang, saya beri PERISTIWA karya ABDULLAH HUSSAIN



 Naskah PERISTIWA terbitan Pustaka Antara tahun 1965