HOME

Rabu, 27 Mei 2015

Suasana Di Waktu Pagi

Hening pagi
embun pun bebas
memenuhi ruang
celah-celah tumbuh-tumbuhan
berselit dengan binaan tangan
memberi basah yang sedikit
pada alas dan permukaan
tapi cukup
untuk segar dan sedar

pagi masih gelap
tapi tidak sekelam malam
tidak pula secerah siang
saat mentari masih malu
untuk mengintai dan menyapa
gelapnya pagi tak seperti senja
cerahnya pula cukup terangnya
menyuluh jalan ke Rumah

andai waktu tidak bergerak
masakan usia kian bertambah
andai manusia segan berganjak
masakan akal akan bercambah

selembut embun pagi
lebihlah lagi hati azali
setenang embun di waktu pagi
sedamai fikir ketika bayi

pabila diri dan tuan hati
tidak atau jarang sekali
menjejak kaki menyentuh bumi
beralas rumput basahnya ke buku lali
bergerak mencari Rumah sunyi
usah berharap bebas hakiki
andai cuma dalam mimpi.

Ahad, 24 Mei 2015

Cinta Manusia

Cinta manusia
yang kau kejar
yang kau cari
yang kau teliti
yang kau perhalusi
yang kau selidiki
yang kau bermimpi
yang kau mahukan

pamer keindahanmu
atas nama keindahan ciptaan
mengapa?

hipokrasi lantas munafik

tiada lembaran kain
yang paling sempurna
untuk menutup tubuhmu
daripada fikir sekalian makhluk
melainkan tidak sesekali engkau membenarkan
kerana liarnya pemikiran
mampu menelanjangkan
niqab dan jilbab.