HOME

Sabtu, 29 September 2018

DI DALAM NAFAS PERTEMPURAN

Di Tanah Sempadan angin bertiup lembut siang itu,
Tetapi deruan nafas setan Merkava ialah neraka dunia,
Hembusan yang memanaskan jiwa dan mencairkan hati,
Pemuda dan pemudi yang merdeka jiwa mereka,
Biarpun dikelilingi kawat besi dan tembok tinggi.

Engkau dan lain-lain berperang dengan cara tersendiri,
Teguh melawan di dalam nafas pertempuran,
Setia menjadi sasaran muncung Mauser dan Barak,
Menahan dirimu menjadi korban sebuah keangkuhan,
Kebiadaban sebuah bangsa kononnya menumpaskan tuhan.

Tiada syair yang padan mengisi perjuanganmu wahai puteri,
Kecintaan seorang pemuda kepada sebuah kebencian,
Perjuanganmu mencela banyak daripada kami yang pondan,
Kematianmu telah melondehkan kebaculan seekor jantan,
Darahmu menjadi sumpah sebuah Tebing dan Sempadan.

Tiada puisi yang layak dilaungkan buatmu puteri Jumaat itu,
Kematianmu mengisi jiwa kontang tak kunjung perjuangan,
Kami mencemburui sebuah kecintaan kepadamu,
Permatang kami terganjak dek badi emosi dan persepsi,
Tiada tangisan yang layak buat yang senyap dan tuli,
Di dalam nafas pertempuran kau seorang srikandi.