HOME

Isnin, 18 April 2016

PANTUN MALANG


Tanak nasi beras usang
          Pasal kasihan diberi orang
Tenaga muda tak mahu pasang
          Setan malas sudah bersarang

Tukul paku gergaji pahat
          Berkali pukul baru tertambat
Pantun Melayu beri nasihat
          Aku berpantun maki menghambat

Babi sondol pohon bidara
          Babi hutan tak faham bahasa
Tanah luas sekangkang kera
          Itupun tidak di usaha

Ikan puyu lompat ke perahu
          Usah berharap setiap hari
Hidup segan mati tak mahu
          Kelak hidup seorang diri

Ringan tulang menjadi pantang
          Rezeki sendiri mengharap orang
Ibarat melukut ditepi gantang
          Masuk tak penuh keluar tak kurang

Dajal ke kampung membawa kandar
          Fitnah dihambur dapatkah dihalang
Hidup susah masih tak sedar
          Dituduhnya tuhan membawa malang

Tidak ketengah tidak ketepi
          Akal sendiri fikir tak reti
Kerana Tuhan letak di tepi
          Itulah malang hidup dan mati
BUAH HATI DI TANGAN ORANG

angin bertiup sejuk
awan mendung berarak perlahan
gugur daun ke halaman
jatuh hati pada yang jauh
pandangan mata tak terlihat

hujan turun membasahi bumi
sekeping hati untuk dihuni
dua insan andai bercinta
walau mata tidak bertemu
hati bertaut tiada siapa tahu

puisi cinta dicipta
boleh dibaca tanpa makna
rasa di hati begegar di jiwa
tiada dapat dirasa kecundang
buah hati ditangan orang

Sabtu, 16 April 2016

KITA SEBENARNYA SENDIRIAN

Setiap pagi kita bangun
Kita sebenarnya bangkit dari kematian
Dan hari pun berlalu
Seperti biasa.

Di hari lain
Kita bangun pagi itu
Lepaslah kita dari maut semalam
Dan hari pun berlalu
Seperti biasa.

Sampai suatu pagi
Kita bangun setelah malam tidak memayatkan kita
Sementara nyawa masih tersekat di halkum
Hari itu pun berlalu juga
Seperti hari-hari biasa.

Entah sampai bila
Setelah kita bangun pagi
Tetapi ajal tidak menjemput semalam
Tetapi siangnya,
Bernafas dalam kabut derita
Takdir mula menghambat hingga ke petang
Kita lelah dan orang lain pun kecewa
Hari itu pun berlalu juga
Tidak seperti biasa

Esoknya,
Pagi kembali senyum
Kabus suramnya sekadar mengejek
Dan orang lain bekerja menampung ahli dan diri
Ramai yang bersedih
Tetapi hakikatnya sekadar rasa
Bukan faham apa beza dua dunia kita
Mereka dan kita berbeza
Simpati yang tiada makna tanpa doa
Dan hari itu pun berlalu
Seperti biasa.

Hari kemudian itu
Menjengah ke pagi
Kurang makna yang mendalam
Ingatan kian padam
Anak adam di lain alam
Hanya menanti
Dan hari itu pun turut berlalu
Seperti hari biasa.

Hari seterusnya
Dari pagi ke petang
Ke hari seterusnya pula
Sehingga usia mereka menjengah senja
Turut berlalu
Seperti biasa

Sia-sia sahaja
Tidak maut dijemput malam
Jika amalan sekadar adatan
Kerana orang lain dan mereka
Tiada dapat menghulur tangan
Ternyatalah,
Kita sebenarnya sendirian.